Archive for the ‘macam-macam’ Category
1.
Naaa… belum register phd lagi. Belum.
Inilah akibat mengumpat. Fakta yang disebarkan dari mulut ke mulut memang boleh ke laut.
Doktor?
Fuh!
Amin…………………..
.
2.
Saya rasa ramai di antara kita pernah main game ‘cerita berantai’. Biasanya game ni dibuat masa camping, kursus, orientasi, bengkel, training, team building dan yang sewaktu dengannya. Dalam game ini, satu teks akan diberi kepada seorang peserta. Peserta ini akan bertindak sebagai peserta pertama dan dikehendaki menceritakan semula teks berkenaan kepada peserta yang kedua. Peserta yang kedua pula perlu menyampaikan kepada peserta yang ketiga, dan begitulah seterusnya. Peserta yang terakhir kemudian dikehendaki menceritakan semula input yang diperoleh. Dan selalunya apa yang disampaikan oleh peserta terakhir ini sangat jauh berbeza berbanding cerita asal.
Masa darjah 6, saya pernah main game ini dalam satu kumpulan yang besar. Lebih kurang 100++ orang. Kata kunci yang perlu disebarkan ketika itu ialah “ayam”. Di pertengahan rantaian peserta itu, sebaran telah menjadi “diam-diam, nanti cikgu marah!”.
Kesian “ayam”. Yang paling kesian adalah cikgu itu. Sape suruh buat game macam ni pukul 1 pagi?
.
3.
Ketika dalam latihan di Pulapol, Iszrole mendapat kecederaan lutut yang dipanggil sebagai “meniskus tear”. Kekerapan berulang ke HKL bagi menjalani rawatan fisioterapi dan temu janji pakar secara tidak langsung menimbulkan sangsi satu (atau mungkin beberapa) pihak di Pulapol. Iszrole juga berulang kali dipersoalkan kenapa beliau selalu mendapat privilege dari HKL (entah apa privilege-nya saya pun taktau). Bagi melengkapkan spekulasi sendiri, sang speculator ini mengandaikan isteri Iszrole yang bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej universiti kesihatan pasti ada connection dengan doktor2 di HKL. Walhal sekiranya sang speculator yang merupakan seorang anggota polis terlatih dan berpengalaman ini cuba menyelidik perkara sebenar, beliau akan mendapati bahawa spekulasi beliau itu adalah melucukan kerana hakikatnya saya sang isteri Iszrole ini merupakan seorang pensyarah teknologi maklumat!
Jangan kan kata doktor HKL, pegawai teknologi maklumat di mana2 jabatan kerajaan pun saya tak kenal.
Cerita berantai memang hebat. Bayangkan, kalau permulaannya pun dengan sebuah spekulasi yang berunsur fitnah, bagaimana pula dengan corak sebarannya? Itu baru cerita pekerjaan isteri Iszrole dan connection-nya dengan doktor2 HKL. Belum lagi cerita isteri Iszrole berkrisis dengan OC Kompeni F, isteri Iszrole bercakap buruk dengan kakitangan Kompeni F, isteri Iszrole selalu telefon Kompeni F, isteri Iszrole itu, isteri Iszrole ini… ya isteri Iszrole ini terkenal tahu? Beliau menghantui Pulapol!
Sila tabik spring kepada saya.
Rantaian cerita itu rupanya belum berhenti meski latihan telah tamat awal Januari lalu. Terkini, ada seorang kakitangan Bukit Aman bertanya kepada Iszrole;
“Isrol, wife kau doktor kan?”
.
*mari ketawa besar-besaran
.
Yes sahab, tak lama lagi la tu. Cuma bukan doktor perubatan ye sahab. Kang ramai pulak yang mampus akibat salah makan ubat!

saye: ayat skema? Peralihan kepada bahasa bijaksana
Related posts:
Adalah normal bagi sesebuah karya yang menjadi fenomena untuk memasuki ruang diskusi yang akan diisi dengan kritikan, pujian dan kutukan. Ianya membuktikan bahawa karya tersebut mempunyai aura tersendiri sehingga diperdebatkan sebegitu rupa.
Sebelum ini, satu ulasan berkenaan filem Ombak Rindu (OR) telah dinaikkan di blog ini. Ulasan ini sebetulnya cenderung menyentuh isu adaptasi karya novel ke filem. Ia sama sekali tidak memberi tekanan terhadap isu moral yang menjadi kontroversi dalam filem ini. Namun kemelut Ombak Rindu yang dimainkan beberapa pihak di sana-sini telah membangkitkan beberapa persoalan di benak saya. Malah, sewaktu artikel ini ditulis, beberapa status di facebook yang memaut trailer Hafalan Shalat Delisa (HSD) telah dinaikkan dengan sebahagian besarnya mengaitkan atau membandingkannya dengan OR. Hampir kesemua status ini termasuk deretan komen yang diberikan menjurus kepada kritikan yang menonjolkan kerendahan mutu dan nilai karya filem anak tempatan. Situasi ini benar-benar membuatkan saya terfikir, salah siapa semua ini?

Bukan tidak ada karya kita yang bermutu tinggi. Tetapi bagaimana dengan sambutannya? Kita sendiri yang banyak mengkritik kebobrokan karya tempatan, kita sendiri juga sebenarnya tidak sedar dengan kewujudan karya-karya terbaik yang pernah terbit atau telah diharamkan.
Adakah fenomena OR membuka mata kita untuk mencari karya-karya ini? Tidak! Kita hanya sibuk mengutuk hasil karya anak tempatan sedangkan kita sendiri tak pernah mampu walau untuk mengedit sebuah video peribadi. Lebih buruk lagi, untuk menaikkan sebuah entri yang bermanfaat di blog pun kita tidak mampu. Malah, selepas gagal menjawab pelbagai isu dan persoalan yang kita naikkan ke facebook pun, kita lebih suka lari dan mengambil jalan pintas menuding kepada pihak lain untuk menjawab.

HSD berkait rapat dengan tragedi alam. Malah, kalau kita amati, Indonesia sendiri akrab dengan pelbagai tragedi tidak kira tragedi alam mahupun tragedi manusia. Rakyat negara jiran ini telah bertahun bergelumang dengan tragedi dan perjuangan sebagai rencah kesinambungan hidup. Sedarkah kita bahawa tragedi dan perjuangan ini telah sekian lama mencorak pemikiran seterusnya menjadi pencetus kepada lahirnya karya mereka?
Bagaimana dengan pemikiran kita?
Kalau kita fikir pengkarya perlu menghasilkan karya yang bernilai, bermoral, kritis dan menonjolkan tahap pemikiran yang tinggi, kita inilah yang perlu mula membuktikan telah menjadi manusia yang bernilai, bermoral, kritis dan mempunyai daya pemikiran yang tinggi. Kerana pengkarya tidak mahu rugi menghasilkan karya yang tidak boleh dijiwai oleh penontonnya seterusnya merencatkan keuntungan.
Perhatikan sahaja facebook kita. Isu apakah yang paling banyak kita naikkan? Kisah peribadi? Dialog suami isteri? Perkembangan anak-anak? Maklumat agama? Isu semasa? Isu politik? Ekonomi? Ilmiah? Nah, masing-masing lebih tahu facebook sendiri. Itulah antara cerminan pemikiran kita. Dan kita tidak malu pula memperlekeh karya tempatan yang hakikatnya mencerminkan jiwa dan minda sebenar kita. Maka bagaimana pula anda mengandaikan pemikiran pengkarya kita?
Hanya pengkarya dengan jati diri yang tinggi sahaja yang sanggup menongkah arus. Tetapi berapa ramai yang sanggup melaburkan berjuta-juta ringgit untuk mengangkat moral, etika dan pemikiran manusia yang belum tentu memberi pulangan? Sedangkan penonton/pembaca hanya melabur RM8 – RM30 untuk menghadam hasil keringat dan idea orang lain.
Saya tentu sekali bukan seorang pengkarya semasa. Namun pengalaman menghasilkan beberapa karya kecil membuatkan saya faham perit jerih berkarya. Ianya umpama anda bersusah-payah memasak, dan orang yang menghadam makanan itu dengan mudah memberi komen “tidak sedap! Sedap lagi makanan Indonesia”.
Seperti mana saya bukan peminat Aaron Aziz (telah disebut dalam ulasan OR), saya juga bukan peminat OR. Namun saya kira, menghukum OR sebagaimana yang dilakukan ramai sekarang ini agak tidak adil. Berapakah peratus kerosakan dilakukan oleh OR sehingga disifatkan sebagai tragedi murahan di sini? Berapa banyakkah penderhakaan plot OR terhadap nilai agama dan kemanusiaan? Adakah di antara anda di luar sana yang pernah cuba membandingkan jumlah kerosakan itu dengan tingkat kerosakan dan penderhakaan yang disajikan dalam banyak filem Melayu yang lain? Jika tidak, anda sama sekali terlalu bias!
Cuba kaitkan sebentar perenggan di atas dengan tragedi Superman Faizal Tahir yang telah dihukum Vs trend pakaian tidak senonoh sesetengah selebriti wanita tanah air yang tidak pernah dihadapkan ke muka pengadilan sebagai satu bentuk pengajaran kepada diri sendiri dan individu lain. Dapatkah anda menterjemahkan konotasinya? Adilkah kita menghukum satu pihak sedangkan pihak yang lain terus ghairah berkarya dalam kemaksiatan?
Di sisi saya, OR memang bukan sebuah filem moral. Ia hanya sebuah filem yang mempertaruhkan idea asal sebuah novel yang laris, barisan pelakon pujaan dan dendangan lagu yang menusuk jiwa untuk bermain dengan emosi penonton rakyat Malaysia yang memang gemarkan melodrama. Ia adalah kehendak pasaran sendiri.
Sekiranya kita masih diulit perkembangan lilitan terbaru hijab muslimah, ghairah mempromosi konsert rock tanah air, masih hanyut mengulit majalah fesyen/keluarga terkini, rasanya lebih molek kita muhasabah diri. Bak kata kawan-kawan facebook saya, carilah cermin.
OR bagaimanapun masih lebih baik dalam beberapa sisi moralnya berbanding lambakan filem-filem tempatan sebelum ini. Ia telah menunjukkan satu peningkatan dan telah pun mendapat sambutan (di sini saya menegaskan bahawa saya 100% menolak keperluan wujudnya adegan ranjang atas sebab apa sekalipun). Sebagai penonton/pembaca yang menikmati hasil kerja pengkarya, buktikan bahawa kita telah bersedia untuk menerima dan memberi sambutan terhadap sebuah karya yang kuat dengan isu kemanusiaan, jati diri dan moral hasil dari pemikiran yang tinggi. Dan semoga lebih ramai pengkarya filem/novel kita akan mampu menghasilkan karya bermutu yang bukan hanya mampu menjadi medan sebaran dakwah dan moral, tetapi mampu meraih keuntungan berganda hasil sambutan pasaran yang hakikatnya adalah terhad.
Berilah peluang kepada karya kita untuk bergerak di atas landasan ‘sokong dan dorong’ rakyatnya sendiri. Kurangkan kritikan membunuh. Keparahan nilai moral dalam karya perlu dibimbing, dipapah, dimotivasikan serta dirawat. Jangan biarkan ianya jadi seperti pokok-pokok yang mati selepas dicaci-maki oleh satu kaum di Pulau Solomon (sumber).
Karya kita, cerminan bangsa kita. Tak percaya? Semak profile facebook masing-masing.
saye: ini belum masuk lagi kekangan berkarya akibat dictatorship. Ada beran?
Related posts:
Jujur, aku merancang untuk menaikkan entri ini selepas menghadam luahan maklin di sini.
Maaf maklin. Ini bukan serangan balas atau serangan peribadi. Ini hanya satu perbezaan pandangan yang tidak semestinya betul dan sesuai dipakai oleh pihak yang lain. Pandangan ini juga tidak semestinya valid sepanjang masa, malah aku sendiri tidak mampu menjangka apakah akan terus berpeluang menjadi wanita berkerja sehingga ke akhirnya.
Bagi aku, perbezaan pandangan dan prinsip mengenai tugas dan tanggungjawab seorang ibu sebahagian besarnya ditentukan oleh pengaruh latar belakang masing-masing. Hal ini semestinya berkait rapat dengan cara kita dibesarkan. Seseorang yang dibesarkan oleh ibu surirumah, pastinya cenderung memilih untuk menjadi surirumah atau mempunyai isteri surirumah terutama setelah melihat kaedah membangunkan keluarga dengan seorang isteri/ibu surirumah telah berjaya memanusiakan generasinya. Begitulah sebaliknya bagi seseorang yang dibesarkan ibu berkerja, pastinya cenderung memilih untuk berkerjaya atau mempunyai isteri berkerjaya kerana melihat kelebihan kaedah membangunkan keluarga dengan seorang isteri/ibu berkerjaya dalam membentuk generasinya.
Pandangan ini boleh jadi juga dipengaruhi oleh perasaan ingin memperbaiki kesilapan yang dilakukan generasi terdahulu. Sebagai contoh, seseorang yang merasa rendah diri dibesarkan oleh ibu surirumah mungkin cenderung memilih untuk berkerjaya/memilih isteri berkerjaya. Manakala seseorang yang merasa terabai dibesarkan oleh ibu berkerjaya mungkin cenderung memilih untuk menjadi surirumah/memilih isteri surirumah.
Begitu juga tuntutan hidup yang kadang-kala tidak memberi peluang kepada kita untuk memilih apa yang kita mahukan kecuali menurut apa yang sepatutnya dilakukan. Seorang wanita yang mana dengan kerjayanya mampu menjadikan institusi keluarganya lebih stabil dari beberapa segi, sudah tentulah diperlukan untuk berkerja. Dan sebuah keluarga yang dipimpin seorang suami dengan kerjaya atau status tertentu, mungkin memerlukan si isteri menjadi surirumah.
Terdapat juga situasi ibu tunggal yang tiada pilihan lain selain berkerja. Ada juga wanita berpendidikan tinggi yang telah mempunyai profession hebat terpaksa mengorbankan kerjayanya kerana diuji Allah dengan anak/anak-anak yang mungkin memerlukan perhatian berganda (baca: kurang sihat).
Tidak kurang ramai juga yang memilih untuk menjadi surirumah/berkerja tanpa apa-apa tekanan atau tuntutan sebaliknya merasakan itu adalah pilihan terbaik untuk dilaksanakan.
Aku faham prinsip seorang ibu yang mahu menjadi segala-galanya untuk anak masing-masing. Mengasuh, memasak serta menyediakan segala keperluan keluarga dengan tangan sendiri. Berpegang kepada alasan inilah, sesetangah wanita sanggup mengorbankan kerjaya demi membangunkan keluarga masing-masing dengan kudrat sendiri. Ironinya, melalui pengalaman aku adik-beradik (juga suami), dibesarkan oleh ibu yang berkerja tidak sedikit pun mencalarkan kedudukan ibu kami dalam senarai individu yang paling penting dalam hidup kami. Ibu berkerjaya kami adalah tetap ratu yang tidak akan mampu digugat oleh sesiapa pun insan hebat yang lain.
Seorang ibu tetap seorang ibu. Kita tidak perlu bermatian menjelaskan kenapa dan mengapa kita melakukan sesuatu tindakan dengan meletakkan satu prinsip seolah-olah ianya sesuai dan berkesan terhadap orang lain. Jatuhkah taraf seorang ibu apabila melepaskan anak-anaknya untuk dijaga oleh orang lain ketika dia keluar berkerja? Adakah itu dikira sebagai satu pertaruhan? Tidak bertanggungjawabkah seorang ibu yang tidak mengasuh perut ahli keluarganya dengan air tangannya sendiri setiap hari? Adakah itu satu penderhakaan sehingga kurangnya mendapat redha Ilahi berbanding seorang ibu yang mampu melakukannya?
Walau apapun jawapan yang diyakini benar oleh seseorang, aku percaya bahawa seorang ibu akan terus mengungguli takhta jiwa anak-anaknya yang dididik untuk redha dengan pengorbanan dan bahagian masing-masing.
Dalam entri maklin yang aku pautkan di perenggan paling atas, maklin ada menyebutkan yang anak-anaknya tidak faham apa itu kerjaya. Aku ingin merungkaikan kenyataan itu dengan beberapa soalan. Adakah anak-anak lahir dengan terus memahami apa itu makan? Adakah anak-anak lahir dan terus mampu berjalan? Apakah anak-anak lahir dengan terus memahami siapa itu ibu?
Anak-anak membesar dengan mempelajari apa itu kehidupan. Maka, sudah tentu mereka tidak faham apa itu kerjaya dengan mudah. Untuk itu, ibubapalah yang perlu memainkan peranan untuk memahamkan anak-anak apa itu kerjaya dan apakah keperluannya.

credit picture to Anam Ahmed and Astrolable.com
Kita semua maklum, apa pun pilihan seorang ibu sama ada untuk berkerjaya atau menjadi surirumah sepenuh masa, pasti ada pro dan kontra masing-masing. Tanpa perlu aku menjelaskan kelebihan menjadi surirumah sepenuh masa (kerana majoriti anda tahu apakah kelebihannya), biar aku senaraikan kelebihan menjadi ibu berkerjaya di pihak aku. Ia tidak mesti benar kepada orang lain. Dan ia memang mestinya memiliki kelemahannya tersendiri. Kita juga perlu maklum bahawa tidak ada satu perkara yang paling betul dan sempurna. Dengan memahami prinsip kos lepas, kehidupan ini meletakkan pilihan di tangan masing-masing. Perlu diingat, kita tidak hanya bercakap tentang hari ini, tetapi juga hari-hari mendatang.
>> Kerjaya makan gaji di syarikat swasta membolehkan anda memiliki akaun KWSP (EPF) yang diisi setiap bulan dari pendapatan sendiri dan juga dari caruman oleh majikan. Secara kasar, sekiranya pendapatan anda ialah RM2000 sebulan, anda mencarum sebanyak RM220 manakala majikan mencarum sebanyak RM240, menjadikan jumlah caruman bulanan anda sebanyak RM460. Jumlah terkumpul selama setahun (termasuk bonus minimum sebulan) adalah RM5980. Ini tidak termasuk sekiranya anda mempunyai elaun tambahan, bayaran overtime dan semua bayaran pendapatan lain yang akan dikira dalam peratus caruman EPF. Sila jumlahkan sendiri bagi yang berpendapatan melebihi angka contoh yang diberikan. Simpanan ini juga menerima dividen tertentu dari EPF setiap tahun. Malah jumlah caruman bulanan juga akan meningkat dari tahun ke tahun dengan adanya kenaikan gaji. Simpanan hari tua ini sedikit sebanyak bakal memberi manfaat kepada keluarga masing-masing pada masa akan datang.
>> Kerjaya makan gaji di agensi kerajaan sehingga satu tempoh tertentu membolehkan anda menikmati bayaran pencen setiap bulan setelah bersara kelak. Sekali lagi bayaran tetap ini bakal memberi manfaat kepada keluarga dan anak-anak pada masa depan. Mungkin ada yang berfikir, waktu itu anak-anak telah berkerja dan mempunyai pendapatan masing-masing. Namun sekiranya seorang ibu mempunyai pendapatan tetap sendiri setiap bulan, sudah tentu dia tidak perlu mengharapkan anak-anak dari segi kewangan sekaligus memberi ruang untuk anak-anak bernafas sewaktu proses membina keluarganya pula. Ini juga adalah salah satu kaedah seorang ibu menzahirkan kasih-sayangnya.
>> Ilmu dan pengalaman dari kerjaya seorang ibu membolehkannya memotivasi, membimbing, menasihat serta menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak terutama dalam proses pengajian dan sewaktu berkerja kelak. Pengalaman aku sendiri begitu banyak mendapatkan pandangan dan idea emak berkenaan sebarang bentuk tugasan atau ketika berhadapan sebarang masalah terutama berkaitan pelajaran dan kerja. Dari sinilah seorang ibu mampu melebarkan sayap baktinya kepada anak-anak seterusnya meraih redha Ilahi.
>> Ibu berkerjaya mempunyai ‘masa untuk diri sendiri’ iaitu ketika tidak bersama anak-anak. ‘Masa’ ini digunakan untuk segala keperluan dan kepentingan peribadi termasuk tuntuan kerjaya dan sosial. Wanita dalam kelompok ini sama ada menyedarinya atau tidak, mempunyai satu tempoh (lebih kurang 9 jam sehari) untuk ‘bebas’ dari persekitaran rumah dan persekitaran yang melibatkan keluarga. Tempoh ini memberikan mereka ruang tersendiri yang jarang diperoleh oleh golongan surirumah sepenuh masa di mana ruang ini adalah berguna bagi tujuan ‘refresh’ dan ‘exposure’. Keletihan selepas tempoh berkerja lazim terubat setelah menemui suami dan anak-anak di rumah. Dengan adanya tempoh tidak bersama anak-anak ini, seorang ibu pasti akan sangat menghargai masa lain yang dapat diluangkan bersama keluarganya. Malah anak-anak sendiri akan sangat menghargai setiap kali ibunya dapat meluangkan masa bersama. Dalam hubungan apa sekalipun termasuk hubungan suami isteri, aku percaya kita semua memerlukan ruang untuk diri sendiri berbanding 24/7 terpaksa menghabiskan masa dengan satu atau beberapa individu yang sama. Sekiranya bekerja di pejabat memerlukan tempoh rehat, tugas dan tanggungjawab dalam rumah juga memerlukan ‘pelepasan’ tertentu.
>> Kerjaya membolehkan seorang wanita menyalurkan khidmat kepakaran dan tenaga masing-masing kepada agama, bangsa dan negara. Ianya adalah sumbangan yang tidak kurang mulia dengan membangunkan sebuah institusi keluarga. Khidmat ini sememangnya tidak akan mampu dilaksanakan dengan mudah tanpa pengorbanan dari banyak pihak yang penting. Namun terlupakah kita bahawa setiap pengorbanan itu pasti diselangi dengan hikmah? Sedikit rujukan dari luahan Ustaz Hasrizal dalam entri Hari Jongkang Jongket.

>> Masih ramai di antara ibu berkerja mampu menyediakan masakan sendiri untuk keluarga yang dilakukan mengikut kemampuan dan cara masing-masing. Hal ini membuktikan bahawa ibu berkerja mampu melaksanakan dua profession dalam satu masa iaitu berbakti kepada keluarga dan berbakti kepada masyarakat.
>> Ramai juga di antara wanita berkerja ini mendapat sokongan dan bantuan dari golongan suami yang dengan rela hati berkongsi tugas dan tanggungjawab di rumah tidak kira memasak, membasuh, mengemas dan mengasuh (atas kesedaran bahawa kedua-duanya berkerja). Kerjasama antara suami isteri tentunya pengerat hubungan kekeluargaan lantaran saling rasa menghargai dan dihargai (Kenyataan ini sama sekali tidak menafikan terdapat golongan suami yang isterinya surirumah turut mempunyai kesedaran yang sama. Malah terdapat juga golongan suami yang isterinya berkerja tetapi bersikap seperti ‘raja’).
>> Bertahun-tahun menimba ilmu di menara gading, tidak teringinkah para ibu golongan siswazah untuk menyalurkan khidmat bakti serta menggunakan ilmu dan kepakaran yang ada untuk manfaat masyarakat di mana hikmahnya (baca: pahala) bukan hanya diperoleh oleh diri ibu itu sendiri tetapi juga oleh setiap jiwa yang telah berkorban melepaskannya berkerja (baca: suami dan anak-anak)?
>> Advantage bagi ibu berkerja adalah berpeluang ‘menghulur’ kepada orang tua masing-masing dengan hasil titik peluhnya sendiri. Terutama bagi golongan siswazah, pasti ada yang pernah mendengar orang tua masing-masing menyebut “susah payah mak/ayah sekolahkan kamu, kamu pulak taknak berkerja.” Namun aku juga setuju bahawa tidak semua orang tua kita bersetuju anak perempuan masing-masing mempunyai kerjaya.
>> Apa juga pendapatan yang diperoleh seorang wanita bergelar isteri adalah merupakan hak mutlaknya dan tidak boleh diusik oleh suami tanpa izin dan redha isteri (Your money is my money, and my money is my money!). Namun ini adalah peluang bagi seorang isteri dan ibu untuk mendapat redha Ilahi dengan berkongsi hasil pendapatannya untuk kegunaan keluarga sekiranya perlu.
>> Kerjaya sama sekali tidak menutup peluang seorang ibu untuk memberikan penyusuan sepenuhnya kepada bayi masing-masing dengan bantuan ilmu dan teknologi terkini. Namun sememangnya tidak mudah untuk melaksanakan tanggungjawab ini kerana seorang ibu berkerjaya memerlukan disiplin untuk mengepam susu di pejabat yang terkadang gagal dipatuhi sepenuhnya akibat tuntutan kerja yang tidak menentu. Itu tidak termasuk dengan persekitaran tempat mengepam yang lazim tidak kondusif di pejabat, bebanan mengangkut gadjet untuk mengepam, cabaran memastikan stok susu mencukupi, keletihan serta tekanan dari pelbagai pihak. Namun kita semua tentu telah biasa mendengar kenyataan bahawa semakin banyak cabaran dan kesukaran untuk kita melaksanakan sesuatu tanggungjawab, semakin besar pula ganjaran (pahala) yang bakal kita peroleh sekiranya tetap berusaha dan berjaya melakukannya.
>> Tanpa niat mendoakan kemudaratan, kita harus sentiasa bersedia tentang kemungkinan-kemungkinan buruk yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Sekiranya patah sebelah sayap, seorang ibu berkerja masih mampu terbang dengan sebelah lagi sayapnya yang kuat dan kukuh (insyaAllah).
>> Rezeki adalah pemberian Allah namun usaha adalah pilihan manusia. Ilmu dan pengalaman yang diraih tanpa rehat dan henti akan ‘mencantikkan’ resume seorang wanita berkerjaya untuk dinilai ‘for better offer’.
>> Seorang ibu berkerjaya lazim mendapat penghormatan dari suami dan anak-anak sekiranya mampu membahagikan antara tugas kerjaya dan tanggungjawab di rumah. Ianya memang tidak mudah justeru keupayaan melaksanakannya akan menyerlahkan keunggulan seorang wanita.
Dari pengalaman aku sendiri, tidak pernah terlintas di fikiran untuk mempersoalkan kenapa emak tidak duduk di rumah dan mengasuh anak-anak dengan tangan sendiri. Malah dari usia kecil, aku telah faham bahawa pada waktu pagi, emak akan keluar berkerja dan hanya pulang pada waktu petang. Aku menyedari yang emak mempunyai tanggungjawab lain yang tidak boleh dilonggarkan tanpa sebab yang kukuh. Dua tiga bulan sekali, kami adik-beradik akan pasti ditinggalkan emak selama sekurang-kurangnya seminggu kerana mempunyai kursus, tugasan luar, mesyuarat atau persidangan di luar daerah. Emak juga pernah menjadi ‘weekend mother’ selama beberapa tahun bagi memenuhi tuntutan berkerja di daerah/negeri lain. Kesemua ini kami lalui tanpa banyak kerenah. Dan aku percaya, instead of merungut, emak dan ayah memilih untuk mencipta alternatif tertentu bagi memastikan kesinambungan hidup berjalan dengan lancar dan terbaik melalui pilihan yang ada. Hidup tetap diteruskan dan kami menjadi dewasa dengan mengagumi unggulnya wanita yang melindungi dan membesarkan kami dari dalam rahimnya, dari genggaman tangannya, dari pelukannya, dari keringat dan tenaganya, dari pandangan matanya, dari butir nasihatnya dan dari doa-doanya. Emak adalah yang terbaik, terhebat, termulia, paling mithali dan sejati, anugerah Allah yang tidak pernah akan sama dengan apa juga yang boleh dinilaikan (tahniah emak, aku menulis perenggan ini dengan titisan air mata dan membacanya berulang kali dengan titisan air mata).
Apa pun pertikaian yang dibangkitkan mengenai tugas dan tanggungjawab seorang ibu, aku yakin bahawa sebahagian besar golongan ibu akan sentiasa meletakkan prioriti kepada keluarga. Anak-anak adalah permata yang tidak ada galang gantinya walau berapa ramai anak yang diamanahkan kepada kita.
Kepada ibu surirumah, berbahagialah kerana anda telah mengorbankan kepentingan diri demi membangunkan keluarga dengan tangan sendiri. Sesungguhnya tiada apa yang lebih bernilai melainkan kasih dan keikhlasan seorang ibu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan yang terbaik buat anak-anaknya.
Kepada ibu berkerjaya, berbahagialah kerana anda telah mengorbankan sebahagian masa dan tenaga yang boleh dinikmati bersama anak-anak demi bakti kepada agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya tiada apa yang lebih unggul berbanding seorang wanita serba boleh di mana di tangannya terhayun buaian, dan di tangannya jugalah tergoncang dunia.
Apa pun pilihan kita, ia datang dengan pakej kelebihan dan kelemahan. Tidak mungkin ada satu kaedah yang paling tepat dan sempurna. Kita telah melihat generasi yang terbangun dari tangan ibu surirumah dan dari tangan ibu berkerjaya. Masing-masing telah mampu membentuk pemimpin masa kini dan masa akan datang dalam pelbagai bidang dan cabang.
Untuk itu, tepuk dada tanya selera.
saye: tak sempurna dan terus mencuba.
Related posts:

Aku tak ingat bila kedua-dua status kat atas dinaikkan. Yang pasti, dua status ni berturutan dekat wall aku. Lepas sekali baca, aku terus print skrin. Menarik dan agak ironi antara keduanya.
Aku bukanlah peminat Irfan Khairi. Sekadar like page beliau, itu bukannya apa-apa. Lebihnya, seronok tengok ragam manusia. Yang bagus, yang ikhlas, yang humble, yang taksub diri, yang show off, yang bangang dan yang ntah apa-apa. Facebook sebuah medan bebas. Kalau suka, boleh baca. Kalau annoying tak henti-henti, aku hide aje. Daripada buat dosa mengumpat keji, lebih baik nyahkan terus dari pandangan mata.
Prinsip manusia adalah benar bagi individu yang memegangnya sahaja. Ianya bukan hukum Tuhan. Maka, sekiranya kita memegang satu prinsip, pertahan sahajalah untuk diri sendiri. Ianya bagus supaya kita terus termotivasi. Tapi usahlah pertahan prinsip kita dengan meletak hukuman dan pandangan busuk kepada individu lain yang tak sependapat.
Kalau kau mahu jadi kaya, hinakah orang yang nak hidup sederhana?
Kalau kau rajin berusaha, loser sangatkah orang yang mahu biasa-biasa?
Kalau kau pro kerajaan, kejikah mereka yang sebaliknya?
Kalau kau supermom, bodohkah ibu-ibu lain yang tak bertindak sebagaimana yang kau fikirkan betul?
Kalau kau pakai tudung, pasti sangatkah kau yang terdedah2 itu sarat dengan dosa berbanding kau?
Hidup ini pelbagai. Simpan prinsip masing-masing dan teruskan hidup baik-baik. Berkongsi nasihat itu bagus. Tapi belum tentu semuanya betul.
Dapat 1 juta like pun belum tentu kau betul.
saye: cuti online
Related posts:
Menghadapi pasang surut dalam sesuatu perhubungan, kita kadang-kadang merasakan telah berhadapan dengan jalan buntu dan lantas berkata – “aku dah tak nampak jalan.”
Instead of beranggapan yang kita berhadapan dengan jalan buntu, mungkin sepatutnya kita ubah tanggapan itu kepada “kesesakan lalu-lintas”.
Umum tahu, kesesakan lalu-lintas lazim bersifat sementara. Andai berpanjangan sekalipun, lambat-laun kita tetap akan keluar dari belenggu kesesakkan dan menemui jalan ke destinasi.
Beri ruang kepada diri, beri ruang kepada orang lain (pasangan, keluarga dan sahabat handai).
Beri peluang, beri masa.
Jangan give up.
Jangan bertindak memutuskan pertalian sewenang-wenang.
Jangan menyerang.
Jadilah matang.
Orang yang ikhlas, hatinya akan bertaut meski betapa berbeza pemikiran dan pemahaman.
saye: live and learn.



