Archive for the ‘seni’ Category

Buku yang paling senang nak baca. Cepat dan mudah. Tak perlu banyak fikir, tak perlu mengulang perenggan, tak perlu bukak Kamus Dewan. Pendek kata, senanglah!

Itulah Almad Al Kebab. Karya Wan Azlan – sebuah novel parodi, baca tak kering gusi.

credit gambar kepada KakWa (kakaknya dr. sudugarpu)

.

Akhir-akhir ini, istilah parodi jadi terkenal. Atau aku yang rasa macam ia baru terkenal? Menurut Kamus Dewan Online, parodi adalah karya sastera, seni, dsb yang meniru gaya pengarang atau pencipta lain dengan cara yg me­lucukan atau menyindir.

Novel ini bermula dengan watak Dimanosajo, seorang warga Thailand yang menjalankan perniagaan kebab sebagai punca rezeki di Kota Permaisuri. Unsur parodi hanya muncul dengan meluas (dan jelas) selepas terhentinya (seketika) watak Dimanosajo yang awalnya disangkakan sebagai watak utama dalam karya ini.

Parodi bermain di sekitar watak Sediakawal, Sakurakura, Sihuruhara, Mergastura, Murrahan dan Sifar. Kambing menjadi burung unta. Pening lalat menjadi Tahi Lalat. Sayuran menjadi ikan. Pintu menjadi perut (penyebab kepada munculnya Al Kebab).

Ya. Ahmad Al Kebab memparodikan Ahmad Albab.

Selain sesuai sebagai bacaan pelbagai peringkat umur, Ahmad Al Kebab boleh menjadi permulaan bagi yang mahu bermula atau mahu kembali berjinak2 kepada naskah penuh teks. Lambakan pilihan di toko buku adalah satu isyarat kepada kita untuk kembali kepada asas, kembali kepada kaedah tradisi sebagai sumber pencerahan. Iya, itupun setelah mendahulukan ayat-ayat Tuhan di dalam naskah Al Quran. Ayuhlah, resam dunia pun tak disuruh untuk tidak dipedulikan.

Mari jadi manusia lively.

saye: siapa kita untuk memandang rendah dan melabel hidup orang lain sebagai tunggang langgang? Tegurlah sikapnya, bukan hidupnya.

Related posts:

Entri ini dedikasi untuk put sebab puji aku (puji ke? aku perasan kejap ye) dalam satu entri kat blog dia pasal essei film masa kami amek subjek film critics kat msu tahun 2005. Selain mr. norman yang vogue dan kelasnya yang macam  sardin dalam tin, kejadian bertukar-tukar pringles (yang kemudian diketahui takde logo halal) semasa sesi menonton filem juga adalah detik-detik terindah sepanjang aku berada di msu.

Entri ini juga dedikasi buat readers(terutama dr sudugarpu sebagai follower dan pengkomen tegar) yang suka membaca tulisan aku yang menceceh tak tentu hala. Esei 13 muka surat ini adalah satu tulisan serius kerana ianya merupakan assignment yang menyumbang kepada A untuk subjek ini. Semoga anda dapat menghabiskan bacaan dan beroleh manfaat.

Sape baca sampai habis… memang CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG.

Monsoon Wedding: Mengangkat Nilai Sosial Dan Budaya Masyarakat Di India

Ideologi dalam konteks filem secara amnya bermaksud kepercayaan atau fahaman. Dengan kata yang lebih luas, ideologi merupakan satu set idea dan kepercayaan yang didokong oleh seseorang individu, kumpulan, kelas dan masyarakat. Secara umumnya, ideologi dalam filem boleh dipecahkan kepada bangsa/etnik, kelas sosial, umur, agama dan jantina. Esei ini akan memberi kritikan berkenaan aspek ideologi dalam filem Monsoon Wedding.

India di dalam Monsoon Wedding mendekati India yang asli – masyarakat pelbagai agama, pertembungan antara budaya lama dan gaya hidup kontemporari, dan tentu saja tidak mengetepikan realiti sistem kelasnya (1). Filem arahan Mira Nair ini mengangkat kehidupan kontemporari masyarakat Punjabi di bandar Delhi dengan pendekatan terhadap budaya dan cara hidup masyarakatnya secara maksimum.

Sejak permulaan filem, cerminan terhadap kehidupan masyarakat India terutamanya di bahagian utara ditonjolkan melalui penggunaan bahasa yang pelbagai. Watak-wataknya yang begitu fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris sememangnya memberi gambaran yang tepat terhadap penduduk di bandar itu yang begitu banyak menggunakan bahasa bekas tinggalan penjajah British sebagai bahasa komunikasi harian. Memang benar, penggunaan Bahasa Inggeris di India cukup dominan malah terdapat antara rakyatnya yang lebih fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris berbanding bahasa kebangsaan mereka sendiri, Bahasa Hindi. Namun ini tidak bermakna bahasa ibunda itu dilupakan terus. Watak-watak yang mewakili generasi lama atau veteran dalam filem ini didapati banyak bertutur dalam Bahasa Hindi selain turut menyelitkan Bahasa Punjabi sekali-sekala. Malah pada satu-satu masa, watak-watak dalam filem ini akan bertutur dalam ketiga-tiga bahasa tersebut langsung menambahkan kesan realistik masyarakat India Delhi masa kini(1).

Perlambangan watak sebagai budaya boleh diketengahkan bagi menggambarkan kedudukan sosial dan budaya masyarakat India di dalam filem ini. Meneropong ke dalam kehidupan sebuah keluarga dari kelas menengah bawah di Delhi, Lalit (Naseeruddin Shah) merupakan ikon seorang bapa yang resah memikirkan persiapan perkahwinan anak perempuannya Aditi (Vasundhara Das) yang memakan belanja besar dengan kewangan yang terhad (1). Apatah lagi, upacara perkahwinan dalam msyarakat Punjabi merupakan satu temasya yang besar dan penting di mana ia menghimpunkan sanak saudara dan kaum keluarga dari jauh dan dekat. Pelaburan yang besar untuk satu upacara perkahwinan bukanlah suatu yang pelik jika dibincangkan dalam konteks masyarakat India.

Persiapan yang besar digambarkan dengan wujudnya watak P.K. Dubey (Vijay Razz) perunding majlis perkahwinan yang menguruskan segala hal dari penyediaan khemah dan segala perhiasannya. Permintaan besar dari Lalit untuk menyempurnakan majlis perkahwinan anaknya itu sehingga beliau sendiri terpaksa meminjam untuk mencukupkan segala perbelanjaan. Lalit ingin memastikan segala persiapan adalah yang terbaik supaya majlis berjalan dengan sempurna untuk menjaga air muka keluarga di hadapan pihak lelaki di samping menjaga statusnya dalam kumpulan sosial yang beliau sertai.

Watak Aditi pula menjelaskan gadis kontemporari India yang memiliki cinta di luar pengetahuan ibu bapanya tetapi sanggup menerima perkahwinan yang diatur kerana percaya kisah cintanya tidak akan membawa ke mana-mana. Meski terbelenggu dengan desakan emosi sendiri, Aditi tetap mengharungi apa sahaja yang diaturkan untuknya sebagai rasa hormat dan kasih terhadap keluarga yang membesarkannya selama ini. Aditi juga menjadi gambaran gadis India moden yang bersifat terbuka, jujur dan bijak apabila dia tanpa memerlukan masa yang panjang mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Vikram dan mengambil risiko berterus-terang dengan bakal suaminya Hemant (Parvis Dabas).

Delhi yang digambarkan oleh Nair dalam Monsoon Wedding adalah begitu jelas. Suasana bandarnya yang sesak, kecoh, hingar-bingar, panas, hiruk-pikuk, bising dan berdebu menjadi latar tempat dalam banyak adegan yang ditunjukkan berkali-kali dari waktu pagi, tengah hari, senja sehinggalah menjelang malam. Delhi yang dipenuhi manusia sepanjang waktu ini merupakan cerminan negara India sebagai sebuah negara yang mempunyai peratus kepadatan penduduk yang terbesar di dunia.

Elemen muzik, lagu dan tarian dengan masyarakat India ternyata tidak boleh diasingkan. Tidak seperti filem-filem Bollywood, Nair telah memanfaatkan elemen muzik, lagu dan tarian dalam filem ini tanpa dipaksa-paksa lantas memperlihatkan kesan realistik padanya.

Penggunaan muzik dan lagu adalah dari lagu-lagu klasik, lagu-lagu lama kepada lagu-lagu moden di mana kebanyakannya adalah lagu-lagu tempatan. Penonton mungkin sedar bahawa lagu-lagu yang terdapat dalam filem ini juga diambil daripada filem-filem Bollywood yang lain. Adegan menyanyi secara spontan boleh dilihat ketika ahli keluarga berkumpul bersama pada malam selepas majlis pertunangan Aditi dan Hemant. Apabila salah seorang ahli keluarga mula menyanyikan bait-bait lagu, ianya disambut oleh beberapa ahli keluarga yang kemudian turut sama menyanyi dan menari. Malah seluruh ahli keluarga boleh menyanyikan lagu Gori Gori Banki Chori yang merupakan lagu daripada filem Bollywood lama termasuklah anak-anak muda yang secara luarannya kelihatan tidak menonjolkan ciri-ciri anak tempatan. Ini menjelaskan betapa kuatnya elemen muzik dan betapa berkesannya pengaruh filem Bollywood dalam hati masyarakat India secara umum.

Penggunaan elemen muzik yang agak banyak dan pelbagai ini memberi seolah-olah satu kepuasan bagi penonton untuk menterjemahkan keunikan budaya masyarakat India yang begitu akrab dengan lagu-lagu dan bunyian. Lagu tradisional contohnya dinyanyikan sewaktu upacara berinai yang dihadiri oleh kaum wanita yang sekali-sekala akan berlagak seperti lelaki. Lagu klasik pula dialunkan dengan begitu gemersik pada malam hari menceritakan kesedihan anak gadis untuk berangkat keluar dari rumah ibu bapanya setelah berkahwin kelak. Manakala lagu rancak yang lebih moden ditarikan dengan meriah pada malam sebelum upacara perkahwinan berlangsung dan ketika upacara perkahwinan sendiri. Muzik dan lagu seolah-olah menjadi satu simbol pengukuhan masyarakat ini di mana ianya menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka (2).

Upacara perkahwinan Aditi dan Hermant yang meriah dan perkahwinan kecil-kecilan P.K. Dubey dan Alice (Tilotama Shome) yang berselang-seli antara keduanya memperlihatkan perbezaan kelas atau kasta sosial India secara tidak langsung. Persoalan tentang kelas ini turut boleh dilihat sewaktu adegan Alice cuba bergaya dengan aksesori milik majikannya semasa mengemas salah sebuah bilik. Keinginan Alice yang besar dengan kemampuannya yang terbatas ini diperhatikan oleh P.K. Dubey dan pekerja-pekerjanya yang kemudian menganggap perbuatannya itu sebagai cubaan mencuri. Watak Alice digarap sebagai seorang wanita pendiam, pemalu, berpenampilan suram, tidak cantik, tidak mengenakan sebarang solekan, yang mana merupakan gambaran watak seorang pembantu rumah. Ini termasuklah keadaan rumah P.K. Dubey yang kecil, kosong, tidak cantik dan kekampungan meski berada di tengah-tengah ibu kota Delhi. Semua ini menceritakan secara tidak langsung akan perbezaan taraf kehidupan berdasarkan kasta dalam masyarakat meskipun mereka masih mampu berada dalam satu bumbung dan saling bergaul mesra.

Nair turut memanfaatkan elemen warna semaksimum mungkin untuk menggambarkan kerencaman manusia dalam masyarakat ini. Paling ketara, warna-warna garang dan terang banyak dipakai oleh watak-watak wanita terutamanya. Ia adalah simbol kepada kemeriahan, kemewahan dan keceriaan dalam masyarakat itu sendiri. Malah dalam satu adegan Lalit tidak bersetuju apabila P.K. Dubey mahu menyediakan khemah berwarna putih dan meminta menggantikannya dengan warna merah menguatkan lagi gambaran kepercayaan mereka terhadap warna sebagai salah satu simbol dalam kehidupan.

Pakaian dalam filem ini merupakan satu perbincangan yang lebih menarik. Penonton boleh melihat bagaimana sebahagian besar watak-wataknya dipakaikan dengan kostum-kostum yang dengan secara jelas menggambarkan identiti bangsa India itu sendiri. Ia turut memberitahu kita bahawa masyarakat India begitu akrab dengan pakaian tradisi mereka seperti salwar dan kurta berbanding pakaian-pakaian ala barat yang lebih banyak dipakai di mana-mana negara Asia yang lain. Sari, kurta dan salwar dipakai ke mana-mana sahaja. Majlis rasmi, upacara keagamaan, ke luar berjalan hatta membuat kerja di dapur sekalipun, pakaian-pakaian kebangsaan ini tidak pernah dipinggirkan(2).

Keunikan budaya India yang tidak terdapat dalam budaya mana-mana bangsa di dunia yang lain tentunya pada budaya menyentuh kaki yang seakan-akan menyembah orang yang lebih tua atau berpangkat lebih tinggi dalam keluarga untuk memohon restu. Setelah itu, orang yang diberi penghormatan itu akan meletakkan tangan ke atas kepala oarang yang menyentuh kakinya sebagai tanda memberi restu. Sebagaimana filem-filem Bollywood lain mahupun filem-filem berkisar masyarakat India, tradisi ini tidak pernah ditinggalkan kerana ia merupakan cerminan paling berkesan untuk menggambarkan masyarakat ini. Lebih menarik, sewaktu adegan tari-menari, ada watak-watak yang memusing-musingkan duit di atas kepala penari atau mana-mana ahli keluarga sebelum melemparkan duit tersebut, juga sebagai tanda restu mereka(2).

Mengetengahkan watak adik Aditi, Varun (Ishaan Nair), yang mempunyai minat yang agak berbeza dengan rakan-rakan sebayanya akan mempersoalkan keterbukaan golongan ibu bapa di India untuk menerima perubahan dalam dunia mereka. Mungkin tidak ada janggalnya bagi seorang lelaki untuk menjadi tukang masak profesional di mana-mana negara lain seperti di Malaysia atau negara-negara barat tetapi gambaran yang diberikan Nair melalui Monsoon Wedding menerangkan betapa keadaan ini masih sukar diterima oleh masyarakat India. Budak lelaki yang bercita-cita menjadi tukang masak mungkin dianggap lelaki lembut, lembik dan sebagainya.

Hal yang sama turut memperjelaskan berkenaan pemikiran masyarakat India apabila Nair cuba melontarkan kritik sosialnya tentang isu sumbang mahram yang masih dianggap tabu dan selalu disembunyikan dalam masyarakat ini(1). Hal ini digambarkan melalui watak Ria (Shefali Shetty) yang mengalami trauma oleh kejadian dirinya dirogol oleh pakciknya pada usia yang masih kecil(1).

Kepelbagaian agama dan perkahwinan campur yang berleluasa di India ditonjolkan secara halus dan hampir tidak kelihatan dalam filem ini. Alice, penganut Kristian yang berasal dari Bihar mengahwini P.K. Dubey yang beragama Hindu yang dilakukan melalui upacara agama Hindu pada akhir cerita. Malah penyelitan bangunan masjid di tengah bandar secara tidak langsung menceritakan tentang terdapatnya kepelbagaian anutan agama dalam negara tersebut.

KESIMPULAN

Kritikan terhadap aspek ideologi budaya masyarakat dan sosial dalam filem Monsoon Wedding telah memberi gambaran yang cukup jelas melalui garapan yang dibuat dalam filem ini. Monsoon Wedding merupakan gambaran India yang begitu tulen dan telus dengan mengangkat gaya hidup masyarakat Punjabi moden di tengah-tengah bandar Delhi.

Persoalan terhadap ideologi ini dilihat daripada beberapa sudut termasuklah penggunaan bahasa dan watak-watak di dalam filem. Masyarakat India dalam Monsoon Wedding dilihat bertutur dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Hindi dan Bahasa Punjabi. Dari segi watak, Lalit digarap sebagai ikon bapa dalam masyarakat India yang stereotaip manakala watak gadis India moden yang menghormati keputusan ibu bapa ditonjolkan melalui watak Aditi.

Suasana kehidupan masyarakat India di Delhi diperlihatkan secara jelas dengan adegan latar bandarnya. India yang padat dengan manusia ini begitu sesak, sempit dan bising sekaligus menggambarkan sikap masyarakat itu sendiri.

Penggunaan elemen muzik, lagu-lagu dan tarian yang secara spontan merupakan perlambangan terhadap keakraban budaya India dengan elemen yang disebutkan tadi. Kesan yang diberikan begitu ketara apabila kita sebagai penonton turut terbawa-bawa oleh kerancakan muzik dan lagu-lagu yang terdapat di dalamnya.

India dan sistem kasta adalah isu yang paling sinonim di mana persoalan ini ditonjolkan secara halus. Cerminan terhadap India melalui isu ini memberitahu bahawa dalam era masa kini yang sepatutnya bersifat terbuka, kedudukan kelas dan kasta masih berleluasa dalam masyarakat di India.

Elemen warna turut menjadi gambaran masyarakat India yang gemarkan warna-warna ceria dan terang dalam apa jua keadaan tidak kira pakaian mahupun perhiasan dalam upacara dan perayaan. Warna-warna ini mencerminkan keghairahan masyarakat ini dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Selain itu, pakaian adalah cerminan identiti paling ketara dalam filem ini. Penggunaan pakaian-pakaian tradisi secara maksimum seolah-olah merupakan satu kebanggaan dan dedikasi pengarah filem ini terhadap negaranya.

Keunikan budaya India yang mana warga muda akan menyentuh kaki warga tua sebagai memohon restu ada diselitkan dalam filem ini. Hal ini merupakan satu kemestian yang tidak boleh ditinggalkan kerana ia adalah gambaran asas mengenai budaya tradisi India.

Persoalan pemikiran masyarakat India yang mula membangun dan kadang kala masih sempit dalam beberapa perkara boleh dilihat contohnya berkenaan cita-cita seorang remaja lelaki untuk menjadi tukang masak dan isu sumbang mahram yang dianggap begitu memalukan bagi si mangsa.

Akhir sekali, filem ini turut menceritakan kepelbagaian anutan dan kepercayaan agama yang terdapat dalam masyarakat India meski mereka hidup sebagai satu bangsa yang sama dan dari rumpun yang serupa.

Kesimpulannya, persoalan ideologi berkenaan budaya dan kemasyarakatan yang begitu menyeluruh dalam filem Monsoon Wedding ini telah memungkinkan penonton untuk berkongsi pengalaman dan memahami tradisi kebudayaan India dengan begitu jelas.

RUJUKAN

1. Noor Azam Shairi, Filem Bollywood Gaya Mira Nair, Enjin Carian Utusan Online, www.utusanonline.com.my

2. Culture of India – Wikipedia, the free encyclopedia, http://en.wikipedia.org

saye: bole jadi pengkritik filem tak?

Related posts:

If children live with criticism, they learn to condemn.
If children live with hostility, they learn to fight.
If children live with fear, they learn to be apprehensive.
If children live with pity, they learn to feel sorry for themselves.
If children live with ridicule, they learn to feel shy.
If children live with jealousy, they learn to feel envy.
If children live with shame, they learn to feel guilty.
If children live with encouragement, they learn confidence.
If children live with tolerance, they learn patience.
If children live with praise, they learn appreciation.
If children live with acceptance, they learn to love.
If children live with approval, they learn to like themselves.
If children live with recognition, they learn it is good to have a goal.
If children live with sharing, they learn generosity.
If children live with honesty, they learn truthfulness.
If children live with fairness, they learn justice.
If children live with kindness and consideration, they learn respect.
If children live with security, they learn to have faith in themselves and in those about them.
If children live with friendliness, they learn the world is a nice place in which to live.

Jika kanak-kanak hidup dengan kritikan, mereka akan belajar mengutuk.
Jika kanak-kanak hidup dengan permusuhan, mereka akan belajar bertumbuk.
Jika kanak-kanak hidup dengan cemuhan, mereka akan belajar menjadi pemalu.
Jika kanak-kanak hidup dengan keaiban, mereka akan belajar mengaku bersalah.
Jika kanak-kanak hidup dengan toleransi, mereka akan belajar menjadi penyabar.
Jika kanak-kanak hidup dengan dorongan, mereka akan belajar menjadi yakin.
Jika kanak-kanak hidup dengan sanjungan, mereka akan belajar menghargai.
Jika kanak-kanak hidup dengan saksama, mereka akan belajar menjadi adil.
Jika kanak-kanak hidup dengan kesejahteraan, mereka akan belajar menjadi setia.
Jika kanak-kanak hidup dengan kebenaran, mereka akan belakar menghargai diri mereka.
Jila kanak-kanak hidup dengan persamaan dan persahabatan, mereka akan belajar menemui kasih sayang di dunia.

Dorothy Law Nolte, Ph.D. 1972

p/s: terjemahan diambil dari sumber bercetak adalah tidak lengkap maka sila translate sendiri.

saye: sumber asli lebih umphh

Related posts:

Jemput singgah http://karya.widura.org/.

Menyimpan sebahagian koleksi tulisan aku yang dah berzaman dan tak seberapa.

saye: dedikasi untuk diri sendiri… huhew

Related posts:

Sempena kedatangan oktober sebagai bulan bahasa kebangsaan, sempena hari pernikahan angkasawan negara pertama yang bakal menjelma, dan dedikasi kecil kepada teman lama wada yang telah sekian lama menetap di bumi korea.

Readers blog lama aku mungkin pernah terbaca atau sekadar terpandang cerpen ini sebab aku pernah uplodkan sekali. Sempena pernikahan Dr. SMS, cerpen ini ada menyelitkan cerita dan info kecil tentang cita-cita sebagai angkasawan manakala untuk wada ada cebisan mengenai korea di sini. Mungkin ada fakta di dalamnya yang tidak tepat atau salah sama sekali maka aku mohon maaf terlebih dahulu. Ilham mengenai angkasa lepas hadir dari rasa kagum terhadap kursus kejuruteraan aeroangkasa manakala ilham mengenai Korea hadir sepulangan emak dari kursus tiga minggu di sana. Maka kebanyakan info mengenai Korea aku ambil terus dari beliau di samping beberapa buah buku, pamplet, yahoo dan google.

Cerpen ini aku tulis ketika berumur 18 tahun (2002) dan tersiar di Majalah Tunas Cipta juga pada Oktober 2003. Cerpen ini diedit dengan dashyatnya sehingga memusnahkan keaslian plot sebenarnya. Aku yang jadi terlalu marah dengan pengeditan melampau itu terus menghantar email tak puas hati kepada editor. Tak sangka pulak email itu disiarkan di majalah keluaran berikutnya dengan permohonan maaf sekaligus.

Cerpen ini merupakan sebuah cerpen eksperimen yang menuntut begitu banyak research, analisis dan ulangkaji. Cerpen yang jarang aku tuntut orang membacanya. Siapa yang faham, terima kasih kerana anda memang seorang yang mahu berfikir. Kata ciknus dulu “yup..cite ni matang..aku suker bangat!!”. Trimas kepada yang sudi membaca dan memberi komen.

Emel Satu

From : angel <angel@tm.net.my> To : ifhan <eiyf017@swiftnet.com> Subject : Prepare Date : Fri, 6 Sep 2002 15:36:19 –0700 (PDT)

Annyeong-haseyo¹?

Salam kasih di kejauhan, lindungan Tuhan dipohon biar di bawah langit mana pun, didoakan senantiasa beroleh keberkatan.

Suhu di sini waktu ini kira-kira 68 darjah fahrenheit, kebanyakan pengguna di cafe cyber ini berkemeja-T nipis, tetapi warga khatulistiwa tidak jarang janggal dengan kedinginan, berjaket tebal pada awal musim luruh – sesuatu yang agak asing. Kesejukan perlu lebih dulu dipedulikan berbanding banyak mata yang memandang sinis.

Ifhan, kedengaran keadaan Kid tak banyak berubah. Emel yang tiba petang semalam memberitahu batuk-batuk makin berlarutan dan panas badan tidak surut. Bronkitis rasanya semakin parah. Sebaik mungkin kita bersiap, menjelang winter tiket ke Heathrow payah diperoleh. Agenda percutian yang dirancang lama dulu perlu disegerakan. Pengalaman indah harus dicipta untuk dikenang.

Keputusan keluar dari Chonnam National University College of Veterinary Medicine dulu aku rasakan tepat. Biologi terlalu menyemakkan otak. Biarpun abah kecewa tidak kerana dapat mewariskan kliniknya, sekurang-kurangnya aku dapat berbangga dengan meneruskan cita-cita Kid yang terbengkalai.

Cuaca kerap berubah, pagi tadi langit cerah, esok diramalkan mendung sedang petir bakal tiba tengah hari lusa. Ramalan perlu diambil kira Ifhan. Biarpun hanya takdir yang tak pernah silap. At least we prepared.

Till then, sa rang hae yo².

Emel Dua

From : ifhan <eiyf017@swiftnet.com>  To : nurul akidah <nurul_kid@e-garfield.com>  Subject : waiting Date : Sat, 7 Sep 2002 00:54:49

Khabaran dari tanah air, cuaca panas lembab yang tak pernah dan tak akan berubah sepanjang tahun dengan suhu yang semakin meningkat hingga kadang-kala mencecah 38 darjah, hujan hanya sekejap-sekejap dan kembali tidak muncul mengundang bahang dan terik sepanjang waktu.

Di selatan semenanjung, kemeriahan sambutan hari kemerdekaan yang berturutan dimulai oleh negara jiran awal bulan lalu masih terasa hingga ke hari ini. Kid sayang, semoga kedamaian benua Eropah menyumbangkan kesihatan yang berpanjangan atas izinNya. Dari kedudukan sejauh 10 000 km ini, aku tak pernah berhenti berjuang. Tidak sama sekali. Selagi kau tidak mengalah, kita akan sama-sama menentangnya.

Pada perkiraan aku kau telah terlebih dahulu diberitahu. Aku awalnya bingung dengan pilihan Angel mengaji bidang kejuruteraan mekanikal dan aero-angkasa. Mungkin kau boleh menjelaskan mengapa kerumitan kursus perubatan veterinar yang selalunya menjadi kegemaran Angel telah dijadikan alasan yang paling munasabah.

Kertas kerja terakhir selesai dibentangkan dengan jayanya di fakulti. Kami menanti kau untuk kembali menyertai, Kid. Remember, the human spirit is stronger than anything that happens to it.

Emel Tiga

From : nurul akidah <nurul_kid@e-garfield.com>  To : ifhan <eiyf017@swiftnet.com>  Subject : Re:waiting Date : Fri, 6 Sep 2002 22:14:09

Ifhan, matahari musim luruh terbenam kira-kira jam 1925, tidak jauh bezanya dengan keadaan di Seoul. Hujan renyai, kelembapan 68%, suhu kurang 32 darjah fahrenheit berbanding Kuala Lumpur, julur cahaya malap bima sakti tak langsung kelihatan.

Tiada pelajaran yang rumit bagi Angel melainkan dia cuma ingin menyertai kita, berbalas utusan mengenai binokular keluaran terbaru, serta berlumba mencari buruj ursa major di langit lazuardi. Oh, ensiklopedia The Challenge of Space yang kau minta tu juga berada di tangannya. Hope you don’t mind. Angel banyak bertanya tentang syatel, skylab dan salyut. Aku fikir kau lebih layak menerangkannya. Dapatlah kau berceloteh panjang dalam emel dia nanti. Ha ha ha.

Well, Angel sedang menggantikan aku Ifhan. Dia tahu, aku sedar, kau perlukan teman untuk merancang projek membina pangkalan bulan.

Emel Empat

From : ifhan <eiyf017@swiftnet.com> To : angel <angel@tm.net.my> Subject : Re:Prepare Date : Sat, 7 Sep 2002 00:40:09

My dear Angel, jerebu Sumatera dipukul hujan lebat sebelum merebak jauh. Matahari yang mulai terik kelmarin menjadikan langit malam kembali cerah. Cahaya bintang kembar begitu cemerlang dengan pancaran dari jejuta tahun terdahulu.

Angel sayang, cita-cita Kid hanya terbengkalai seketika, sementara. She never quit. Kid hanya berehat daripada keletihan yang panjang. Kid terlalu muda. Dia punya kekuatan yang tinggi untuk berperang dengan penyakit itu. Lagi pula penyakit yang dihidapi Kid hanya lazim menyerang warga berusia 65 tahun ke atas. Kid bukan berjuang sendiri. I would do 50% of the fighting dan Kid akan melakukan 50% selebihnya. Kami telah berusaha ke arah itu, dan kami tak akan kalah. Kid akan menuruti Valentina Tareshkova beberapa tahun lagi. Orbit buatan Kid akan lebih hebat daripada rekod wanita pertama itu. She’ll make it. Memetik kata-kata Henry David Thoreau; things do not change, we change.

Agenda percutian tetap akan berlangsung. Cuma projek fakulti akan berjalan selama lima minggu sepanjang cuti semester yang hanya bermula awal Oktober ini. Lagipun musim sejuk tidak sesuai untuk Kid. Semester akan datang berakhir pada April. Percutian kali ini perlu lain dari yang lain. Musim bunga di Seoul tentu berbeza.

­Yup, Kid was getting worse but that she wasn’t quitting.

Emel Lima

From : angel <angel@tm.net.my> To : nurul akidah <nurul_kid@e-garfield.com>  Subject : miss you Date : Fri, 6 Sep 2002 15:24:10

Annyeong-haseyo.

Utusan buat teman tercinta, semester musim luruh yang bermula sejak lima hari lepas membuatkan aku begitu sibuk. Summer ini terbazir dengan urusan merayu tempat di fakulti kejuruteraan, sehingga hari kebangsaan pada 15 Ogos lalu, aku sama-sama melompat bila didatangi surat tawaran dari Seoul National University. Seolah-olah aku juga rakyat Korea yang merdeka waktu itu.

Masa terlalu suntuk Kid. Aku semakin ingin terbang menemui kau. Cuti yang terdekat sempena Chusok hanya berlangsung empat hari pada 19 haribulan ini. Aku serasanya ingin mengabaikan semester yang baru bermula ini, aku menjangkakan sesuatu akan berlaku. Kid, jejuta harapan dari Seoul, akan sempat kita bertemu.

Kid, aku terlalu rindu untuk kembali ke hari-hari kita berbasikal di bawah terik jam 1100, memanjat tembok pagar kediaman kau, menyertai jerit pertengkaran kau dan Ifhan, sehingga suatu hari kau tersedar bahawa tindakan aku menyokong kau sewaktu perselisihan dengan Ifhan hanya lakonan semata-mata, kerana aku telah terlebih dahulu jatuh kasih kepadanya sebelum sempat kau menabur benih kebencian.

Confucius mewajibkan anak untuk setia terhadap ibu bapa selain kepercayaan di antara sahabat dan menghormati yang lebih tua. Masyarakat Korea cemerlang dengan kepatuhan terhadap ajaran ini. Tetapi tidak di dalam setiap keadaan kewajipan ini dapat dipatuhi. Aku faham betapa cederanya kesetiaan kau terhadap rumah tangga yang retak menanti belah. Aku mengerti bagaimana hancurnya kepercayaan terhadap sahabat curang. Aku maklum mengapa hilangnya rasa hormat terhadap saudara yang tidak pernah memahami. Hanya aku tidak dapat menerima bahawa pementasan hidup kau seolah-olah bakal berkesudahan dengan sad ending.

Permohonan maaf dan kiriman kasih, Kid. Mian-hamnida³.

Emel Enam

From : nurul akidah <nurul_kid@e-garfield.com>  To : angel <angel@tm.net.my>  Subject : Re:miss you Date : Fri, 6 Sep 2002 22:20:59

Kau sering memiliki keanehan perasaan bagi sesuatu kejadian masa hadapan. Racun alkohol dan rokok yang mencederakan paru-paru aku rasakan semakin berkuasa. Tidur semakin seksa, tiada daya bernafas sendiri, seluruh tubuh seolah-olah hanya berfungsi dengan bantuan mesin.

Angel, aku tak pernah menyesal atas segala kesilapan aku yang terdahulu. Kerana pneumonia inilah parents aku kembali bersatu dan yang paling indah, aku dan Ifhan kembali mengaku bersaudara. Benar kata kau, lapan belas tahun terlalu lama untuk kami bermusuh hanya kerana perselisihan kecil sewaktu di dalam rahim. Dan falsafah petikan kata-kata Tom Cruise yang kau sering ulangi; when you have to cope with a lot of problems, you’re either going to sink or you’re going to swim. Lalu aku memilih untuk tenggelam. Justeru aku selebihnya berbangga atas segala tindakan aku. Masyarakat memang layak menggelarkan aku bodoh, hanya sehingga mereka tidak terlantar di hospital dengan menyaksikan kasih sayang kembali memekar di antara suami, isteri dan sepasang anak kembar yang tak pernah sehaluan.

Bagaimana sekalipun, aku percaya, mensyukuri apa yang ada akan menjadikan dunia ini serba adil dan Tuhan telah menganugerahkan segala yang terbaik untuk diri kita.

Aku derita. Kedengaran seperti sangat berputus asa. Itu kenyataan yang melanda, Angel. Andai tidak kerana janji-janji Ifhan, aku tak mungkin tahu kau kini bercita-cita untuk menjadi seperti Valentina Tareshkova. Kau sesungguhnya layak untuk memiliki cita-cita itu. Lebih jauh, langkah Tareshkova mengahwini angkasawan sejawatnya juga hampir separuh kenyataan untuk kau. Mungkin aku akan memujuk Ifhan untuk menjadikan Andrian Nikolayev sebagai idola. Ha ha, smile! Semoga lawak jenaka aku hari ini menjadi realiti.

Aku gembira kau begitu bersemangat untuk melakukan tugas ini bagi pihak aku. Dari dulu pun, kau selalu bersungguh ketika melakukan sesuatu. Hari pertama di sekolah tinggi yang mencatatkan perkenalan kita, kau bertengkar dengan palajar India di meja sebelah aku demi mendapatkan tempat di situ. Tindakan julung kali itu sudah cukup membuatkan aku rasa begitu istimewa sebagai teman.

Angel, everything is happen for a reason. Hari semalam telah memberi sebab untuk munculnya hari ini. Tanpa melalui hari ini, esok tidak akan datang. Pertemuan tidak sengaja kau dengan Ifhan sewaktu accident basikal enam tahun lepas, adalah punca bagi semua ini. Ia suatu kebetulan, tidak ada siapa yang bersalah kerana tiada siapa yang merancangnya.

Walaupun aku turut mengharapkan kedatangan kau ke Nottingham Place, kasih sayang yang kau hantarkan sudah terlalu lebih dari yang memadai.

Emel Tujuh

From : angel <angel@tm.net.my> To : ifhan <eiyf017@swiftnet.com> Subject : Re:Re:Prepare Date : Sat, 7 Sep 2002 19:07:16 –0700 (PDT)

Annyeong-haseyo.

Ifhan, penangguhan percutian selama tujuh bulan adalah terlalu tidak munasabah dengan berbekalkan alasan projek fakulti berbanding hayat yang berdiri di hujung tanduk. Di Seoul, matahari jatuh awal. Keadaannya tidak sesuai untuk penghuni yang suka berlengah.

My dear, aku tahu adalah terlalu berat untuk melepaskan barang paling berharga pernah kita miliki tetapi hanya baru kita sedari. Kau terlalu ekstrim dengan perhubungan kalian yang baru sempat berada di awal musim bunga. Summer memang indah bagi sasterawan barat seperti Shakespeare. Tapi tanah khatulistiwa menerima cahaya matahari sepanjang tahun. Ifhan, anggaplah permusuhan panjang kalian sebagai bukti kasih sayang yang telah ditakdirkan tercipta untuk dikenang.

Kid berjuang. Dengan segala kepayahan yang tak pernah kita rasa dan tanggung. Kita tidak berada di tempatnya. Kita tidak mengerti Ifhan. Radang paru-paru bukan hanya membunuh organ-organ hidup, tetapi membunuh segala semangat dan harapan. Sementelah pneumonia Kid berpunca daripada asma dan diparahkan dengan rokok dan alkohol. Advair, Nasonex, Zyrtec, Claritin-D, Biaxin, Cipro, Albuterol atau apa sahaja yang diambil oleh Kid dalam perjuangannya, bukanlah lawan bagi pneumonia yang kronik.

Aku tahu, kau tahu, Kid memiliki semangat yang kuat. Tetapi memaksa diri melalui jalan kepayahan yang sia-sia hanyalah satu pembaziran. Ifhan, ini bukan hasutan yang untuk melemahkan harapan, aku sendiri sebagai teman terlalu mengingini berlakunya keajaiban untuk melihat Kid bebas dari penjajahan yang panjang. Kid perlu berehat. Dia telah terlalu letih Ifhan.

Ifhan, don’t you think the reason she hasn’t let go is because she doesn’t want to let you down? Dia enggan melihat kau kecewa tetapi adakah kau melakukan sesuatu yang mendatangkan bahagia kepadanya? Mendengar bukan merasa. Melihat bukan menanggung. Kau berjuang dari jarak yang terlalu jauh, tak mungkin kau dapat berkongsi kesakitannya. Kau mahu Kid menjadi semangat dan jiwa kau dalam keadaan yang terlalu mendera. Kau mementingkan diri sendiri dengan memaksa Kid untuk terus berjuang.

Ifhan, waktu di Seoul begitu deras. Penduduknya berlegar 24 jam sehari, menanti dan mengharap, tidak pernah wujud seputar kehidupan di sini. Keajaiban boleh berlaku, tetapi biarlah kena pada situasinya.

Ahad, 8 September 2002,

The Princess Grace Hospital,

23:59:40

“Kid, aku faham bahawa kau berada dalam kesakitan yang amat. And that you might like to let go. Kiranya kau ingin pergi, justeru aku mahu kau pergi. Kami tidak kehilangan kerana kau tak pernah mengaku kalah. You never quit fighting. Aku bangga dan gembira. Kiranya kau ingin berada di tempat yang lebih baik, aku faham. Kita akan kembali bersama. I love you dan aku akan sentiasa berada bersama kau di mana pun kau berada.

Emel Lapan

From : nurul akidah <nurul_kid@e-garfield.com>  To : angel <angel@tm.net.my>  Subject : (none) Date : Sat, 7 Sep 2002 15:45:49

Hujan pagi ini berkurangan pada awal tengah hari namun dijangkakan lebat semula menjelang tengah malam. Kebarangkalian hujan hanya 40% tetapi nyata sepanjang hari ini bumi London lencun di awal autumn. Sememangnya hujan akrab dengan musim luruh.

Langit belum pernah terang tetapi aku terlihat buruj orion semalam. Aku juga bermimpi bagaimana terjadinya perceraian parents aku, dan tekanan yang meruncing hingga membawa aku pada keadaan ini. Aku nampak engkau tersenyum kepada Ifhan yang kemudiannya mengangguk, tetapi telinga aku seakan berdengung, aku gagal mendengar butir percakapan kalian. Bila aku sedar, aku dilazimi kedatangan emel Ifhan, cuma kali ini sesuatu yang drastik. Kau yang mempengaruhi dia untuk datang ke sini bukan?

Emel Sembilan

From : ifhan <eiyf017@swiftnet.com> To : angel <angel@tm.net.my> Subject : Re:Prepare Date : Mon, 9 Sep 2002 03:38:02

Agenda percutian dibatalkan. Kid telah bertolak ke percutian pilihannya. Suatu tempat yang paling sesuai dan aku yakin dia gembira. Aku menghantarnya, tanpa harapan menjemputnya kembali. Love you.

  1. Salam sejahtera
  2. Aku cinta padamu.
  3. Maafkan aku.

saye: rindu zaman menulis… balik-balik uplod cerpen lama

Related posts:

Adv
About Me

the name is widura.

seorang anak, isteri, ibu, pendidik, pelajar.

suke pada kesederhanaan, bukan kesempurnaan.

Facebook

Widura Abd Kadir

Archives
Categories
Recent Comments